Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By


Powered by Blogger

Thursday, August 28, 2008

Video Lingam



Pada 19 September 2007, negara dikejutkan dengan satu skandal yang didedahkan oleh ketua umum Parti Keadilan Rakyat ( PKR ), Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Beliau telah mendedahkan klip video selama lapan minit yang memaparkan satu perbualan telefon di antara peguam kanan VK Lingam dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Klip video tersebut, atau yang dikenali sebagai “Pita Lingam”, menunjukkan VK Lingam sedang berbincang dengan Ketua Hakim Negara tentang pelantikan hakim-hakim tanpa menyedari bahawa perbualan telefonnya telah dirakam secara rahsia oleh Loh Gwo Burne pada 20 Disember 2001.

Skandal ini telah menyebabkan rakyat di negara ini kurang yakin terhadap badan kehakiman kerana menimbulkan kesangsian yang mendalam terhadap kesesuaian Tun Ahmad Fairuz untuk mengetuai badan kehakiman dan kesesuaian pelantikan serta kenaikan pangkat hakim di negara ini yang telah dibuat berdasarkan cadangan Tun Ahmad Fairuz. Selain itu, skandal ini menimbulkan kebimbangan rakyat tentang sama ada penyelewengan yang selama ini begitu berleluasa pada peringkat pentadbiran negara ini kini juga berlaku dalam badan kehakiman. Rakyat juga berasa bimbang tentang sama ada keputusan mahkamah beberapa kes berprofil tinggi diatur oleh Ketua Hakim Negara itu.

Walaupun kemajuan teknologi komunikasi dapat memberi kebaikan-kebaikan tersebut, peristiwa tersebut juga menonjolkan keburukan yang dibawa olehnya. Hal ini kerana teknologi komunikasi telah disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. Ini dapat ditunjukkan daripada apa yang dikatakan oleh Dr Mahatir bahawa klip video Lingam dibuat adalah untuk tujuan peras ugut. Selain itu, beliau juga berkata bahawa Suruhanjaya Diraja gagal membangkitkan isu Anwar telah “mengubahsuai” klip video itu. Penyalahgunaan teknologi komunikasi telah membawa kesan buruk kepada sesebuah masyarakat..

Penyalahgunaan teknologi komunikasi mengakibatkan ruang peribadi kita tidak lagi wujud. Dengan adanya kemajuan teknologi, perbuatan kita seperti akan diawasi pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kita akan sentiasa berasa tidak bebas dan bimbang tingkah laku akan dirakam tanpa disedari. Kita juga sentiasa perlu berwaspada. Selain itu, penyalahgunaan teknologi akan mengancam keselamatan seseorang dan juga negara. Contohnya, daripada peristiwa Lingam ini, ekoran daripada peristiwa itu, Loh Mui Fah, bapa kepada Loh Gwo Burne, berkata beliau membimbangkan dirinya dan anggota keluarganya kerana mereka sering diekori dan menerima panggilan berunsur ugutan meminta beliau supaya “berjaga-jaga”. Selain keselamatan diri diancam, keselamatan negara juga akan diancam. Dr Mahatir mendakwa bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim sengaja mendedahkan video tersebut untuk merosakkan kredibiliti Lingam yang kebetulan menjadi peguamnya dalam kes saman Anwar. Ini mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalanagan rakyat yang menyokong PKR. Ini akan menimbulkan huru-hara dalam negara dan seterusnya mengancam keselamatan negara.

Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi atau lebih tepat lagi demokrasi berparlimen. Penglibatan rakyat dalam pemerintahan negara menjadi suatu kewajiban. Jadi, rakyat mempunyai hak untuk mengambil tahu tentang pentadbiran negara,. Media merupakan sumber maklumat yang utama untuk rakyat.. Jadi, kemodenan teknologi dalam konteks ini berperanan sebagai “watchdog” yang bertanggungjawab mendedahkan apa sahaja aktiviti yang boleh mengancam keamanan negara. Di Malaysia, media cetak dan media elektronik yang utama seperti suratkhabar, radio dan televisyen telah dikawal secara langsung oleh kerajaan melalui akta-akta dan perlesenan. Akan tetapi, dengan adanya teknologi moden, iaitu internet, maka telah memberi suatu medium bagi Dato’Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan “Pita Lingam” ini.

Dengan adanya kemodenan teknologi pada masa kini, maka dapat meningkatkan accessibility atau pencapaian maklumat dalam kalangan rakyat. Sebenarnya, rakyat dari semua lapisan masyarakat harus mempunyai peluang yang sama untuk mengakses kepada maklumat. Namun, masih ada sekatan dalam penggunaan media di Malaysia. Misalnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap beberapa organisasi media yang menyiarkan kandungan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video V. K. Lingam sebelum Kabinet membuat keputusan untuk mendedahkan laporan itu, ini kerana laporan tersebut merupakan rahsia kerajaan yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Rakyat mempunyai hak untuk mengambil tahu hal-hal pentadbiran negara. Apa salahnya jika media memberitahu kita tentangnya?

No comments: